Wednesday, September 30, 2009

Kewangan Islam berdaya Maju dan berdaya SAING.


Berlatarkan persekitaran global yang semakin tidak menentu, kewangan Islam, sebagai satu bentuk perantaraan kewangan dalam sistem kewangan antarabangsa, terus menjadi berdaya maju dan berdaya saing, kata Gabenor Bank Negara Tan Sri Dr Zeti Akhtar Aziz.

Pada masa akan datang, penyertaan global yang lebih besar dalam proses perkembangan ini secara langsung dan tidak langsung, akan meningkatkan peranan
kewangan Islam yang berpotensi dalam menyumbang ke arah kestabilan kewangan global yang lebih baik.

"Industri perkhidmatan kewangan Islam dalam dekad ini beralih menjadi satu bentuk perantaraan kewangan yang berkembang pesat dan kompetitif memberi khidmat kepada masyarakat global," katanya dalam ucaptama bertajuk "Kewangan Islam: Peluang Pertumbuhan Global di tengah-tengah Persekitaran yang Mencabar" pada Kongres Kewangan Islam State Street 2008, di Boston, Amerika Syarikat.

Sekatan-sekatan Syariah memerlukan urusniaga kewangan diiringi oleh aktiviti pendasar yang produktif dengan itu menimbulkan perhubungan rapat antara pengaliran kewangan dan produktif," jelas Zeti.

Zeti juga memberi pandangan bahawa di samping itu, di bawah aturan perkongsian risiko, institusi
kewangan Islam akan berkongsi keuntungan atau kerugian yang ditanggung oeh seseorang usahawan. "Di bawah aturan ini, terdapat perkongsian risiko yang ketara oleh pembiaya dan pelanggan dengan aktiviti sebenar diharap menjana kekayaan yang mencukupi bagi memberi pampasan bagi risiko," katanya. Aturan itu, tegasnya, memerlukan langkah ketekunan wajar dan integrasi risiko yang betul yang berkaitan dengan aktiviti pelaburan sebenar ke dalam transaksi kewangan.

Menurut Zeti, prinsip-prinsip Syariah turut melarang aktiviti mempengaruhi dengan melampau atau mengambil kesempatan daripada kuasa dan kewangan bersifat spekulatif, sekali gus menebat pihak-pihak terbabit daripada pendedahan risiko yang melampau.

"Prinsip dalaman perkongsian keuntungan dan risiko menyediakan sekatan dan imbangan terbina dalaman kepada urusniaga
kewangan Islam. Yang ketara dalam aturan ini ialah unsur pengurusan risiko dan amalan urus tadbir," katanya.

Melangkah ke hadapan, katanya oleh itu terdapat potensi peningkatan yang hebat bagi
kewangan Islam. "Ketika tahap perkembangan industri perkhidmatan Islam berjalan pesat, persekitaran yang semakin rumit dan mencabar itu akan terus membentuk peningkatannya.

"Tumpuan kepada ini ialah perkembangan parameter perniagaan dan penawaran produk yng inovatif. Untuk itu, terdapat pelaburan yang meningkat dalam penyelidikan dan pembangunan bagi membuahkan pelaburan baru dan struktur bagi menampung keperluan yang berubah komuniti antarabangsa," tambahnya.

Beliau memberitahu hadirin bahawa secara khusus, bidang tumpuan berkaitan ialah pembangunan mekanisme bagi pengurangan risiko dan pengurusan kecairan. Beliau juga berkata bahawa inovasi yang meningkat mahukan penekanan lebih besar ke atas pelaksanaan amalan terbaik dan standard pengurusan risiko yang lebih tinggi dengan keperluan sokongan lebih ke atas aplikasi IT dan juga memperkukuhkan keupayaan pengurusan institusi
kewangan Islam.

"Dengan keprihatinan dan kefahaman yang meningkat terhadap
kewangan Islam, peranan disiplin pasaran akan menjadi lebih penting dalam memacu institusi kewangan Islam ke arah memastikan pematuhan Syariah dalam operasi, menambah baik kecekapan operasi dan menguatkuasakan amalan pengurusan risiko yang baik dan dinamik," tambah beliau. - BERNAMA

Read more...

Anda sedang dibuai CINTA...???


JOm menilai saat CINTA anda...

SETIAP kali menjelang tahun baru, melakukan resolusi mengenai karier, hal kewangan dan cinta sememangnya menjadi rutin bagi setiap orang.

Bagi pasangan yang sedang bercinta, kenangan yang dilalui sepanjang tahun lalu mungkin lebih mematangkan fikiran. Apatah lagi bagi pasangan yang pernah gagal dalam percintaan.

Mereka menganggap tahun yang dilalui umpama suatu pengajaran yang membawa ke arah kehidupan yang lebih bermakna.

Menyentuh soal cinta, jangan pula anda lupa melakukan perubahan kepada diri dengan meletakkan keazaman yang tinggi dalam hal-hal melibatkan dunia percintaan.

Ikuti tip-tip yang disenaraikan di bawah:

1. Lupakan masa lalu

Anda bukanlah insan yang pernah dikhianati, dibenci mahupun ditinggalkan menjelang hari pernikahan. Setiap perkara yang dilalui sepanjang kehidupan lalu harus dijadikan pengajaran. Tetapi, jangan biarkan pengalaman buruk anda pada masa lampau mempengaruhi hubungan yang sedang terjalin.

Jangan biarkan hal-hal positif dan menyenangkan anda dengan pasangan bertukar gara-gara terlalu asyik membuat perbandingan dari tahun ke tahun. Ibaratkan hubungan yang baru dijalinkan itu seperti kertas putih yang siap dicorak.

2. Temui ramai orang

Bekerja di bawah satu bumbung yang sama atau tinggal berhampiran dengan kediaman anda tidak bermakna dapat membantu anda menemui calon kekasih yang berpotensi, kecuali seorang teman yang sudah lama dikenali. Jalinkan hubungan cinta dengan seorang teman yang boleh membawa anda ke arah dunia persahabatan yang lebih bermakna.

Keluarlah dari zon selesa anda. Sekiranya selama ini anda kerap ke pusat gimnasium selepas pulang dari tempat kerja, namun pada tahun ini, bangunlah pada awal pagi dan lakukan rutin harian dengan melaksanakan segala tugasan yang lebih menyihatkan. Lebih berkesan, ikuti kursus atau motivasi yang melibatkan pesertanya terdiri di kalangan lelaki dan wanita.

3. Ubah penampilan

Sudah tiba masanya anda meninggalkan gaya penampilan lama. Tidak salah sekiranya anda mengeluarkan wang yang lebih semata-mata untuk mengubah stail rambut terkini. Kunjungi salon dan bawalah contoh model rambut daripada majalah sekiranya perlu mendapat keterangan.

Demikian pula dalam hal berkaitan pakaian dan aksesori. Pilih baju berwarna cerah dan bermotifkan corak yang menarik agar anda kelihatan menonjol pada setiap masa.

4. Jangan terburu-buru

Menemui cinta baru mungkin mendatangkan kesan positif. Tetapi, jangan pula anda terus membawanya berjumpa dengan seluruh ahli keluarga. Tunggulah sehingga waktu yang tepat dan jangan sesekali merosakkan hubungan yang baru dibina itu. Hindari berbicara tentang masa depan saat hubungan baru berumur setahun jagung. Nikmatilah waktu perkenalan ini untuk memantapkan hati anda dan pasangan.

5. Jangan terlalu memilih

Setiap orang pasti ada kekurangannya, jadi apabila anda begitu obses akan kekurangan pasangan, mungkin anda sukar untuk menemui cinta baru. Sekurang-kurangnya selidik dulu kelebihan yang ada pada dirinya.

6. Buat keputusan

Cinta kerana paksaan akan membawa duka pada kemudian hari. Jangan takut untuk meluahkan apa yang terpendam kerana ia boleh mendatangkan kesan buruk dalam perhubungan. Oleh itu, lakukan keputusan yang berpihak kepada diri dan jangan takut katakan 'tidak'.


Read more...

BICARA UNDANG-UNDANG ISLAM

Setujukah ANDA hukuman HUDUD dilaksanakan dalam negara MALAYSIA...???

Hudud adalah hukum yang ada dalam dalam al-Quran dan al-Sunnah, tiada siapa berhak mempertikaikannya. Namun sebelum dilaksanakan, ada banyak persoalan yang perlu ditangani. Bukan soal setuju atau tidak, persoalannya sejauh manakah jika hukuman ini dilaksanakan ia mencapai maksud dan tujuan hukuman tersebut???.

Tujuan hukuman adalah untuk melaksanakan KEADILAN dan memberikan PENGAJARAN sesuai dengan ajaran Islam. Hukuman mestilah memberikan natijah yang baik kepada Islam dan mampu menaikkan imej Islam serta memberikan nilai yang positif kepada masyarakat termasuk diri yang dihukum. Jika ia memberikan kesan yang negatif, maka maksud hukuman itu akan tersasar.

Berbicara tentang hudud, ada dalam kalangan kita yang bersetuju akan hukuman ini dilaksanakan tapi tidak kurang hebatnya yang membantah dengan alasan sendiri . Ramai yang blind imitation dalam memperkatakan hukuman jenayah dalam Islam ini. Sama ada hanya terikut-ikut dengan media, atau terikut-ikut teks kitab-kitab lama. Ramai yang tidak menyemak tentang maksud, kaedah, keadaan, suasana dan keluasannya.

Seseorang Muslim yang faham tidak mungkin menentang hudud, tetapi mungkin bertanya adakah suasana yang menyebabkan perlaksanaan hudud yang adil dan berkesan wujud pada sesuatu tempat dan masa untuk menjadikan ia mencapai tujuannya??? Apabila syarat dan suasana itu wujud, maka hudud dilaksanakan. Ketika itu akan dapat dilihat keadilan, keindahan dan kesan hukuman tersebut yang bertujuan untuk kebaikan manusia.

Dalam hadis sahih, Nabi s.a.w bersabda: “Jangan dipotong tangan (pencuri) ketika dalam peperangan” (Riwayat al-Tirmizi dan al-Darimi).

Al-Imam Tirmizi ketika meriwayat hadis ini menyebut: “Sebahagian ilmuan berpegang dengan nas ini, antara mereka al-Auza’i, mereka berpendapat tidak dilaksanakan hudud ketika peperangan, berhadapan dengan musuh kerana dibimbangi individu yang dihukum itu akan pergi menyertai musuh…”.

Persoalan berkaitan kebimbangan musuh mengambil kesempatan atau orang Islam meninggalkan Islam itu adalah sebab yang dilihat oleh sebahagian sarjana mengapa Nabi s.a.w melarang hukuman tersebut dilaksanakan, maka pada zaman yang fitnah terhadap Islam di pelbagai penjuru dan kerapohan iman umat Islam begitu nyata, penelitian tentang perlaksanaan hudud itu mestilah lebih berhati-hati. Perlaksanaan hudud mestilah membawa natijah yang positif, bukan negatif kepada Islam.

Maka perjuangan mewujudkan suasana yang conducive itu mendahului usaha perlaksanaan hudud. Setelah wujudnya masyarakat adil; pemerintah dan rakyat, suasana iman dan Islam, kehidupan yang aman dan bahagia, tiba-tiba ada yang mencetuskan jenayah yang mencemarkan itu semua, ketika itu apabila dilaksanakan hudud terpancarlah kesan dan keindahannya.

Di samping, hukuman yang hendak disandarkan kepada Islam itu, bukan sahaja mesti adil, tetapi juga kelihatan adil.

Read more...

Dia yang bergelar seorang WANITA..


Siapakah mereka insan bertuah ini...??? Menarik kisah nie..Jom Join sekaki...


Sirah Islam telah melahirkan ratusan tokoh wanita Islam unggul yang tidak kurang peranan dan kecemerlangannya didalam mencorak peradaban tamadun Islam.

Kehebatan wanita telah diperakui dan dicatat bersama-sama tokoh Islam lain dalam lipatan sejarah. Nama mereka disebut dengan rasa bangga kerana pencapaian dan sumbangan yang sangat bererti dan bermakna bagi setiap Muslim.

Sabda Rasulullah saw yang bermaksud:
"Ada empat (4) wanita mulia dan juga penghulu segala wanita di dunia; mereka itu ialah Asiah binti Muzahin (isteri Firaun), Maryam binti Imran (bonda Isa as), Khadijah binti Khuwailid (isteri Rasulullah saw), dan Fatimah binti Muhammad (puteri kesayangan baginda)".(Riwayat Al-Bukhari).

Sejarah menggambarkan ASIAH sebagai satu simbol keimanan yang jitu kepada Allah swt yang menyelusuri bahtera bersama suaminya FIRAUN yang memusuhi Allah swt.

MARYAM digambarkan sebagai simbol wanita yang tinggi darjat ketaqwaannya kepada Allah swt serta mampu memelihara kesucian dan kehormatan diri walau dihujani dengan fitnah yang maha hebat.

KHADIJAH pula adalah simbol kesetiaan kepada suami tercinta dalam menegakkan kebenaran beragama. Sanggup berkorban jiwa raga dan segala harta bendanya serta sanggup menanggung pelbagai risiko dan cabaran dalam menyebarkan risalah Islam yang diamanahkan pada bahu Rasulullah saw.

Manakala FATIMAH pula digambarkan sebagai simbol wanita yang lengkap iaitu anak yang soleh dan taat kepada ayahandanya (Rasulullah saw), isteri ynag setia dan taat kepada suaminya serta seorang ibu yang bijaksana di hadapan anak-anaknya.

Jelas sekali masa dan waktu telah menbuktikan segalanya mengenai kehebatan dan kecemerlangan wanita sejak zaman berzaman. Segala yang dikecapi bukanlah mustahil kerana sejarah telah menbuktikannya.

Mungkin ada benarnya dalam pepatah melayu menyatakan " tangan yang menghayun buaian boleh menggoncangkan dunia". Inilah realitinya mereka YANG BERGELAR WANITA -WANITA pada hari ini.

Kini wanita bukan lagi boleh dianggap "penghuni tetap" ceruk dapur semata-mata tetapi telah menjadi salah satu identiti penting dalam pembangunan ummah.

Krebiliti mereka tidak boleh lagi dipandang enteng kerana keupayaan wanita mampu membuatkan mereka duduk sama rendah dan berdiri sama tinggi dengan kaum ADAM.

Read more...

Owh pelajar IPTA/S apa nak jadi nih...???


Secebis coretan tika serbuan pusat Disko...


Dikala orang lain nyenyak dibuai mimpi indah melayari bahtera Cruise Star ditengah-tengah lautan Pasifik lain pulak dengan aku yang terpaksa bersengkang mata dikala subuh bakal menjelma semata-mata untuk mencari apakah itu nilai suatu pengalaman membuat serbuan di sebuah kelab diskO di Utara tanah air.

Aku bersama-sama krew Jabatan Hal Ehwal Agama Islam (Utara tanah air) bersama Jabatan Siasatan Jenayah (JSJ) Narkotik telah membuat serbuan kelab diskO atas aduan orang ramai.

Menariknya, tatkala kami tiba mereka tidak seorang pun menyedari tentang kehadiran kami tika itu..Fuhhhh.....rancak toi kelab nih, aku pun leh tergugat iman..
mana tidaknya yang perempuan dengan baju yang entah ape-ape menyentap jugak jiwa muda aku...tapi lain pula dengan pasangan mereka yang segak, smart bergaya...

Demi keselamatan, pihak JSJ terlebih dahulu masuk melalui pintu belakang untuk mententeramkan keadaan sedangkan kami tunggu diluar untuk menerima arahan seterusnya.....NAK TAHU.......???haaaaa..

Walkie talkie alat komunikasi utama kami tika itu...

Nak dipendekkan cerita, pada pagi itu kami berjaya membawa kesemua mereka ahli kelab diskO tersebut hampir 300 orang kesemuanya ke Ibu Pejabat Polis Daerah (IPD) untuk tindakan lanjut seperti ujian air kencing manakala bagi kami KREW Jabatan Hal Ehwal Islam akan mengambil statemen yang berkaitan aktiviti mereka seperti meminum minuman keras dan sebagainya untuk disabitkan kesalahan bersama bahan bukti turut diambil dari tempat kejadian.

Paling menyedihkan, hampir kesemua mereka adalah penuntut Universiti yang bukan calang-calang orang kerana ada dalam kalangan mereka sedang meneruskan pengajian untuk menyelesaikan Master tapi mereka tewas dipukul TSUNAMI dunia yang mahukan keseronokan dan kepuasan hidup lagaknya bagi meredakan stress sewaktu berada dalam dewan kuliah...

Persoalanya disini marilah kita sama-sama merenung dan berfikir sejenak apa yang akan terjadi mungkin 5 atau 10 tahun akan datang dikala anak-anak kita sedang menginjak usia remaja bersama arus perdana yang hanya mementingkan meterial dan ilmu keduniaan demi sebuah kejayaan sementara hidup masih bersisa di muka bumi ini sedangkan kehidupan hakiki adalah di akirat sana...???.

Inilah secebis pengalaman yang amat berharga bagi diriku. Jika sebelum ini, kaca TV dan paparan dada akhbar tempatan yang mencoretkan kisah sebegini tapi aku berhadapan dengan alam realiti bersama mereka kala membuat serbuan pada pagi itu.

Disini sama-samalah kita berfikir dan merenung seketika........Firman Allah swt yang bermaksud:

"Dan (ingatlah bahawa), kehidupan dunia ini (meliputi segala kesenangan dan kemewahannya, jika dinilaikan dengan kehidupan akirat) tidak lain hanyalah ibarat hiburan dan permainan; dan sesungguhnya negeri akirat itu ialah kehidupan yang sebenar-benarnya; kalaulah mereka mengetahui (hakikat ini tentulah mereka tidak akan melupakan hari akirat". (al-'Ankabut:21:64).



Read more...

Tuesday, September 29, 2009

AKIDAH ISLAM

ADUHAI KAHAR OH KAHAR...

Kita sering mendengar pepatah melayu yang menyatakan "Sepandai-pandai tupai melompat akhirnya ke tanah jua". Mana tidaknya, akhirnya si tupai tadi mati ditembak oleh tuan empunya dusun buah-buahan tatkala musim buah tiba kerana sikapnya yang suka mencuri dan merosakan buah-buahan yang baru saja nak kenal dunia.

Bingkisan ini bukan hendak membicarakan tentang seekor tupai malang tadi tapi berkaitan dengan ajaran sesat yang diketuai oleh si otai bernama Abdul Kahar Ahmad Jalal.

Pemberi maklumat hingga tertangkapnya si otai ini telah menerima habuan dari Jabatan Agama Islam Selangor (JAIS) sebanyak RM 20,000.00. Pada mulanya JAIS menawarkan RM 10,000.00 sahaja tapi untuk memburu si otai ini kurang mendapat sambutan dari anggota masyarakat dari segi penyaluran maklumat telah menyebabkan JAIS menaikan lagi habuan sebanyak RM 10,000.00 menjadikan jumlah keseluruhannya RM20,000.00.

Persoalannya disini ialah apakah umat manusia kini terlalu cetek ilmu agama sedangkan nabi terakhir yang di utuskan oleh Allah swt ialah Muhamad saw. Keadaan ini telah dirakamkan oleh Allah swt dalam Firman-NYA yang bermaksud" Dan tidak akan kami utuskanmu (Muhamad)melainkan untuk membawa rahmat ke seluruh alam".
Amat menyedihkan dan lebih malang lagi ada insan-insan yang bergelar manusia ini telah mengakui adanya "RASUL MELAYU" iaitu Abdul Kahar yang telah menjanjikan dan menberi jaminan kepada pengikutnya akan mendapat syurga kelak.

Oleh itu, satu tindakan drastik telah diambil oleh Bahagian Perancangan dan Strategik, JAIS bagi memulihkan akidah pengikut-pengikut ajaran sesat Kahar ini. Perkara yang membabitkan akidah ini cukup penting serta tidak boleh dipandang ringan dan apa yang penting mereka perlu dipulihkan segara sebelum sebarang kejadian tidak diingini terhadap diri mereka sebagai sumber dipetik dari Shahrom Maarop, Penolong Pengarah Bahagian Perancangan dan Strategik, JAIS.




Read more...

IRAN DAN NUKLEARNYA

Tuntutan semasa ATAU kemegahan kepada dunia BARAT.


Isu pembangunan nuklear dikatakan begitu sensitif sekali kerana apabila berhadapan dengannya begitu sukar bagi sesebuah negara terlibat untuk menentukan mana kawan dan yang mana seteru.

India umpamanya yang selama ini dianggap sebagai negara tersisih kerana enggan menyertai perjanjian pencegahan senjata nuklear (NPT), sebaliknya telah menerima sokongan dari Amerika Syarikat (AS) untuk memajukan lagi program nuklear negara Asia Selatan tersebut.

Tidak keterlaluan jika diandaikan bahawa India, Israel dan sedikit sebanyak Pakistan walaupun tidak menyertai NPT, berada dalam keadaan selesa untuk terus membangunkan kemampuan nuklear masing-masing.

Tetapi berbeza pula dengan apa yang sedang dihadapi oleh IRAN yang dituduh mempunyai cita-cita membangunkan senjata nuklear. Tidak keterlaluan jika dikategorikan kes IRAN paling mencuri perhatian yang mana telah mengatasi keunikan krisis yang dilalui oleh Pakistan, India mahu pun Korea Utara.

Menarik bukan kerana pelaku utama krisis nuklear IRAN adalah Washington tetapi oleh sebab tingkah laku negara lain yang turut terlibat sama membuat keputusan untuk menghukum TEHERAN.

Jika India mempunyai rakan baru iaitu Washington dan Korea Utara pula mempunyai Beijing untuk membantu mereka membangunkan cita-cita nuklear, maka IRAN pula dilihat tidak mempunyai rakan yang boleh diharapkan.

Memang benar Moscow kelihatan menyokong IRAN dalam mengekang tekanan Washington tetapi perlu diingat sokongan ini dilakukan diatas dasar kepentingan habuan ekonomi. Selagi IRAN melaksanakan pembangunan nuklear, selagi itulah habuan ekonomi yang begitu lumayan akan diperolehi oleh Moscow.

Harapan IRAN untuk mengharapkan sokongan negara Arab melalui Liga Arab agak tipis kerana Israel telah pun mempunyai kemampuan senjata nuklear tanpa menempuhi banyak rintangan.

Rantau Timur Tengah sepatutnya mempunyai sebuah lagi negara yang mempunyai kemampuan nuklear untuk mengimbangi kekuatan yang dimiliki Israel seperti mana keseimbangan yang dimiliki Pakistan dan India. Tetapi seperti yang dijangkakan anggota Liga Arab tidak mampu berbuat apa-apa.

Atau adakah IRAN boleh mengharapkan sokongan padu dari 56 negara yang menganggotai Pertubuhan Persidangan Islam (OIC) memandangkan hanya Pakistan sebagai negara anggota yang mempunyai kemampuan nuklear.

Seperti mana Liga Arab gagal membantu IRAN, negara anggota OIC juga tidak mampu berbuat apa-apa untuk menyakinkan dunia bahawa pembangunan nuklear IRAN bukan untuk kegunaan senjata peluru berpandu TETAPI untuk tujuan keamanan dan menjana tenaga.

Kegagalan negara anggota Liga Arab dan OIC menyakinkan masyarakat antarabangsa berkemungkinan kerana terdapat persepsi bahawa kedua-dua pertubuhan tersebut mewakili kepentingan negara Islam semata-mata.

Sandaran terbaik IRAN untuk meraih sokongan ialah daripada Pergerakan Negara-Negara Berkecuali (NAM) memandangkan pertubuhan ini menjaga kepentingan negara sedang membangun.

NAM dilihat boleh memainkan peranan penting kerana krisis nuklear Iran timbul semata-mata kerana tentangan negara membangun yang diwakili oleh lima negara kuasa nuklear terhadap hasrat negara sedang membangun seperti Iran
untuk memperolehi kemampuan nuklear.

Tetapi apa yang telah berlaku pada mesyuarat Agensi Tenaga Atom Antarabangsa (IAEA) pada Febuari lalu menunjukkan kegagalan Liga Arab, OIC dan NAM menjaga kepentingan negara anggota.

Jawatankuasa IAEA yang diwakili oleh 35 negara telah membuat keputusan untuk membawa kes IRAN ke Majlis Keselamatan Pertubuhan Bangsa-Bangsa Bersatu iaitu satu langkah sebelum sekatan ekonomi boleh dikenakan terhadap Teheran.

Apa yang menarik ialah bagaimana anggota Liga Arab, OIC dan NAM membuat keputusan mereka dalam undian IAEA. Seperti yang dijangkakan Syria, Venezuela dan Cuba adalah 3 negara yang menentang usul IAEA yang dibawa oleh AS.

Ketiga-tiga negara ini adalah anggota NAM tetapi perlu diingat undi tidak setuju diberi bukan kerana IRAN adalah anggota NAM tetapi kerana penggerak utama resolusi ini adalah AS, iaitu seteru utama ketiga-tiga negara tersebut.

Manakala Algeria, Indonesia, Libya, Belarus dan Afrika Selatan pula mengambil sikap berkecuali yang mana kelima-lima negara ini juga anggota NAM. Sementara Algeria, Indonesia dan Libya selain dari menganggotai NAM, juga ahli OIC.

Nampaknya kelapan-lapan negara yang tidak menyokong usul merujuk Iran ke Majlis Keselamatan adalah anggota NAM kesemuanya dan 4 daripadanya pula adalah negara OIC. Statistik yang mempamerkan kepentingan anggota NAM dan
OIC telah dipelihara.

Tetapi jika diteliti 27 negara lain yang menyokong usul IAEA maka kesimpulan sebaliknya pula akan dibuat. 9 anggota NAM dan 2 dari OIC telah menyokong untuk mengheret IRAN ke Majlis Keselamatan. Statistik yang tidak boleh dibanggakan oleh kedua-dua pertubuhan ini.

Anggota OIC yang menyokong usul IAEA ialah Mesir dan Yemen sementara Singapura dan India pula adalah antara 9 negara NAM yang menyokong AS supaya kes IRAn dibawa ke Majlis Keselamatan.

Keputusan IAEA yang disokong oleh 2 negara OIC dan 9 anggota NAM sudah pasti akan membawa kepada sekatan ekonomi dikenakan terhadap IRAN . Walaupun Presiden IRAN, MAHMOUD AHMEDINEJAD mendabik dada mengatakan Teheran tidak gentar akan
sekatan tersebut, tetapi hakikatnya adalah IRAN lebih bergantung kepada ekonomi dunia dan bukan sebaliknya.

Memang benar IRAN adalah bukan Iraq dan mempunyai minyak sebagai cagaran, tetapi sekatan ekonomi yang di idamkan oleh AS selama ini sudah pasti akan memporak-perandakan IRAN akhirnya.

Paling menyedihkan sekali ialah impian AS mungkin akan tercapai dengan bantuan beberapa negara OIC dan NAM yang sepatutnya menjaga kepentingan negara ahli.

Read more...

Jom kenali Nebula nak...???

Nebula (Latin: "awan") merupakan awan antara bintang yang terdiri daripada debu, gas, dan plasma. Pada awalnya nebula merujuk pada nama umum yang diberikan untuk semua objek astronomi yang terbentang di langit, termasuk galaksi di luar Bima Sakti (beberapa contoh penggunaan nama lama masih digunakan seperti Galaksi Andromeda dirujuk sebagai Nebula Andromeda sebelum galaksi ditemui oleh Edwin Hubble).

Pembentukan nebula

Kawasan H II merupakan tempat kelahiran bintang-bintang. Ia terbentuk ketika awan molekulsupernova yang berada berdekatannya. Apabila awan meletup dan berkecai, ia membentuk sehingga ratusan bintang baru. Bintang yang baru terbentuk mengionkan gas yang ada di sekitarnya lalu terciptalah nebula pancaran. yang sangat besar meletup dengan disebabkan oleh daya gravitinya sendiri. Seringkali kejadian ini disebabkan oleh pengaruh letupan

Nebula juga terbentuk disebabkan oleh kematian bintang. Sebuah bintang yang sedang mengalami perubahan ke tahap bintang kerdil putih dan memancarkan bahagian paling luarnya untuk membentuk nebula planet. Nova dan supernova juga dapat menciptakan nebula yang dikenal sebagai sisa-sisa nova dan sisa-sisa supernova.

Read more...

MALAYSIAKU

  © Blogger templates The Professional Template by Ourblogtemplates.com 2008

Back to TOP