Thursday, October 15, 2009

CABARAN TEKNOLOGI MAKLUMAT DAN INTERNET AGENDA UMAT ISLAM

Teknologi maklumat dan internet adalah merupakan telekomunikasi canggih yang banyak diperkatakan kebelakangan ini. Kemunculannya sejak beberapa tahun yang lalu adalah hasil daripada kepesatan ilmu sains dan teknologi yang sangat hebat perkembangannya, sehinggakan dalam masa yang singkat telah melahirkan berbagai telekomunikasi yang serba canggih dan di luar dugaan.


Kemunculan teknologi maklumat beserta dengan internet ini juga telah banyak merubah cara hidup manusia. Sistem perhubungan bertambah mudah dan cepat, pembangunan industri bertambah pantas, sistem pendidikan yang bertambah canggih, malah cara manusia berinteraksi sesamanya juga turut berubah. Dunia sekarang seolah-olah kelihatan bertambah kecil, di mana perhubungan tidak ada lagi batas sempadannya.



Di dalam dunia yang serba moden ini, di mana keperluan hidup harian manusia banyak bergantung kepada sains dan teknologi, maka tidak dinafikan peranan yang sangat besar yang boleh dimainkan oleh teknologi maklumat dan internet dalam membentuk pemikiran manusia dan suasana masyarakat yang akan datang.



Perkembangan yang hebat dan pesat ini juga dapat dirasai oleh kita di Malaysia, khususnya umat Islam. Berbagai-bagai tanggapan dan pendapat telah dikeluarkan terhadap senario perubahan ini. Walau bagaimanapun, perubahan yang begitu cepat ini seolah-olah tidak mampu disekat lagi kerana ianya berlaku dengan begitu pantas dan melalui berbagai-bagai saluran.



Bagi kita di Malaysia, khasnya umat Islam, menolak arus perkembangan ini hanya akan membuatkan kita sentiasa ketinggalan di segenap bidang. Sementara menerimanya pula dengan bulat-bulat apa yang disediakan, hanya akan mengundang kepada nilai-nilai yang boleh meruntuhkan nilai-nilai mulia yang telah diamalkan di dalam masyarakat kita Malaysia.



Atas kesedaran inilah, maka kita umat Islam, khususnya di Malaysia, perlu menilai kembali kedudukan kita sebagai umat pilihan dan menyusun agenda-agenda yang perlu dilaksanakan demi untuk mengangkat kembali martabat umat, sesuai dengan firman Allah dalam surah Ali Imran ayat yang ke 110, yang bermaksud:

"Kamu adalah umat yang terbaik yang dilahirkan kepada umat manusia, menyuruh kepada yang makruf, dan mencegah daripada yang munkar. Dan beriman kepada Allah."



Melalui perkembangan teknologi maklumat dan internet ini juga, umat Islam perlu sedar bahawa ianya adalah saluran yang sangat berfaedah dan berkesan sekiranya dimanfaatkan sepenuhnya. Contohnya, melalui internet umat Islam dapat menyebarkan syiar Islam dengan seluas-luasnya ke seluruh dunia. Ianya juga boleh dijadikan sumber maklumat dan ilmu Islam, menjadi wadah untuk bermuzakarah sesama umat Islam di serata dunia, bahkan juga boleh dimanfaatkan untuk pasaran perdagangan sesama Muslim seluruh dunia. Malah di peringkat kebangsaan pula, kemajuan teknologi maklumat ini boleh digunakan untuk kepentingan bersama seperti perbincangan yang lebih cepat dan berkesan terhadap isu-isu dadah, Aids, gejala sosial dan berbagai-bagai lagi.



Persoalannya sekarang, adakah rakyat Malaysia, terutamanya umat Islam, sudah bersedia untuk menghadapi cabaran ini? Jika dikaji dengan teliti, kita akan dapati cabaran yang bakal ditempoh nanti bukanlah satu perkara kecil yang boleh ditangani secara sambilan sahaja. Ini adalah kerana perkembangan yang akan dibawa oleh arus pembangunan teknologi maklumat akan menyentuh hampir keseluruhan aspek kehidupan kita.



Oleh hal yang demikian sebagai usaha permulaan untuk merealisasikan penguasaan umat Islam terhadap teknologi maklumat, maka komitmen daripada segenap lapisan masyarakat umat Islam adalah diperlukan. Terutamanya mereka yang berpendidikan yang berkhidmat dengan kerajaan dan juga bukan kerajaan, sektor-sektor swasta, serta juga yang berada di institut pengajian tinggi.



Pada peringkat permulaan ini, mereka inilah yang akan menjadi pemangkin atau penggerak kepada wawasan yang dicita-citakan. Dalam peringkat inilah juga, setiap individu Muslim yang sedar terhadap perubahan dan cabaran teknologi ini, perlu menjadikan dirinya seorang yang celik dan peka terhadap penggunaan teknologi maklumat dan internet. Tanpa ilmu pengetahuan yang cukup di bidang ini, maka kita tidak akan mampu untuk menghadapi cabaran serta menangani perubahan besar yang akan berlaku kelak. Bahkan kita akan ketinggalan di dalam persaingan dengan negara-negara lain. Usaha untuk memperlengkapkan diri dengan ilmu pengetahuan adalah merupakan sebahagian daripada tuntutan agama, sebagaimana yang telah dinyatakan di dalam sebuah hadis Rasullullah s.a.w. yang bermaksud:

"Menuntut ilmu itu adalah wajib ke atas setiap orang Muslim, lelaki dan perempuan."
Riwayat Bukhari & Muslim.



Pada peringkat berikutnya pula, kita perlulah memahirkan diri dengan penggunaan teknologi ini. Kemahiran yang diperlukan adalah kemahiran di peringkat tinggi. Kita tidak mahu pengetahuan teknologi yang dimiliki oleh umat Islam hanya sekadar memiliki sebuah komputer, dan kemudian hanya pandai untuk menaip surat, kertas-kertas kerja, atau bermain video-games. Tahap penggunaan seperti ini adalah terlalu minimum dan boleh dikuasai oleh sesiapapun.



Bagaimanakah kita akan menghadapi kecanggihan teknologi maklumat pada masa akan datang jika masih ramai bakal peneraju negara masih belum terdedah kepada penggunaan teknologi ini secara maksimum, dan tidak berusaha ke arah memahirkan diri dengan teknologi yang boleh membawa faedah yang banyak. Malah agama Islam sendiri menuntut supaya setiap pekerjaan yang kita lakukan itu hendaklah menjadi satu pekerjaan yang terbaik, sebagaimana yang terdapat di dalam hadis Rasullullah s.a.w. yang bermaksud:

"Sesungguhnya Allah menyukai apabila seorang melakukan pekerjaannya, dia akan memperbaikinya (iaitu melakukan dengan sebaik-baiknya.)"
Riwayat At Thabrani.



Pada peringkat selanjutnya pula, di samping memiliki kesedaran dan kefahaman serta ilmu yang mencukupi di bidang teknologi ini, maka kita perlulah pula menjadi seorang yang mampu bergerak aktif dan memainkan peranan yang penting untuk menjayakan penggunaan teknologi ini. Sekiranya bukan umat Islam sendiri yang menjadi key-player dalam penguasaan dan penggunaan teknologi maklumat ini, maka kita akan selama-lamanya meletakkan pergantungannya kepada orang lain. Umat Islam tidak boleh hanya menjadi pemerhati dalam perkembangan dan perubahan ini dan takut untuk melibatkan diri, sedangkan bangsa-bangsa lain telah jauh ke hadapan.



Sindrom duduk dan lihat inilah menjadi salah satu penyakit yang sangat berbahaya kepada umat Islam hari ini. Kerana ianya merupakan satu sikap yang boleh menimbulkan rasa malas dan tidak yakin kepada diri sendiri. Umat Islam perlu mengikis sifat yang sebegini jika kita mahu maju ke hadapan, dan berani menceburkan diri dalam bidang-bidang yang baru dan melihat dengan positif masa depan yang ingin dibina.



Di samping banyak faedah yang dapat dimanfaatkan daripada teknologi maklumat dan internet ini, kita juga menyedari bahawa teknologi yang pada asasnya bersih ini telah disalah-gunakan sehingga menjadi salah satu saluran yang tidak bermaruah. Melalui kemajuan teknologi ini, manusia lebih bebas untuk menyebarkan idea-idea yang berbahaya. Mereka yang mempunyai niat jahat terhadap Islam akan menggunakannya untuk menyebarkan fitnah dan memburukan Islam. Bahan-bahan lucah dan budaya kuning Barat akan lebih mudah disalurkan ke mana-mana sahaja di serata dunia.



Atas kesedaran inilah, maka kita umat Islam khasnya di Malaysia, perlu melihat cabaran yang dibawa oleh teknologi maklumat dan internet ini dari kacamata Islam. Kerana sudah tiba masanya bagi umat Islam untuk memahami dan mengambil segala faedah yang dibawa oleh teknologi ini, termasuklah menghadapi ancaman-ancaman yang dibawanya. Kita perlu mampu menukar cabaran-cabaran ini kepada peluang-peluang yang boleh dimanfaatkan oleh masyarakat Islam.

2 comments:

~izza~ October 16, 2009 at 9:04 AM  

ermm toi 2 nape la kta umat islam agak terkebelakang ek pasal2 IT nie sdngkan agama kita mengcakupi plbagai bdnag ilmu bkn..???

eMmA October 16, 2009 at 10:55 AM  

Sepatutnya kta sbg umt terpilih (islam) sepatutnya memnfaatkn sepnuhnya arus perkmbangan dunia IT ini sebgai medium dkwah bertepatan dgn zaman ledakan maklumat.

MALAYSIAKU

  © Blogger templates The Professional Template by Ourblogtemplates.com 2008

Back to TOP